Jumaat, September 12, 2008

Allayarham Suhaimi selamat dikembumikan

11 September 2008, jam 1.30 ptg.

Alhamdulillah rombongan mashoorian85-91 sempat menziarahi keluarga Allahyarham Suhaimi dan memberi penghormatan terakhir di tanah perkuburan di Masjid Jamek Sungai Kota, Tanjung Piandang, Parit Buntar.

Rombongan terdiri daripada Pak Jan (penulis), Demon, Mat Biaq, KamalRock, Barak dan Cengkoi (Sofi) bertolak dari Tol Juru lebih kurang jam 1.45 petang. Sebelum itu Jim Sonet (Nazari Syukor) telah sampai ke rumah keluarga Allahyarham lebih kurang jam 12 tgh, ketika sampai Jim Sonet memberitahu jenazah sedang dimandikan dan dikafankan. Tetapi Jim Sonet tidak sempat solat jenazah kerana terpaksa bergegas balik semula ke sekolah (SMK Sg. Acheh) tempat bertugas.

Rombongan sampai di perkampungan Sungai Kota, Tanjung Piandang lebih kurang jam 2.15 petang. Kami terus menuju ke tanah perkuburan di masjid kampung tersebut. Alhamdulillah sempat juga kami melihat jenazah di tanah perkuburan sehingga selesai pengkebumian.

Setelah selesai bertalkin kami singgah di rumah (sebelah Masjid Kg. Sg. Kota) sahabat kita yang lama tidak bertemu, hampir 20 tahun dan merupakan insan yang banyak berjasa dan membantu semasa hayat Allahyarham termasuk berulang-alik membawa Allahyarham ke Hospital Besar Pulau Pinang. Insan yang dimaksudkan ialah MAZLAN BIN HARUN (badge 1985-1987) atau lebih dikenali oleh sahabat-sahabat al-mashoor sebagai MALAN Penaga.

Mengikut cerita Malan, Allahyarham memang sudah lama mengalami masalah buah pinggang tidak berfungsi selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya 11 tahun yang lalu. Selama itulah Allahyarham tidak bekerja dan hanya mengharapkan duit pampasan dari SOCSO iaitu sebanyak RM 400 lebih sebulan. Sejak empat bulan lalu, Allahyarham terus terlantar di Hospital Besar Pulau Pinang, setelah mengalami beberapa keretakan tulang di bahagian pangkal peha akibat terjatuh menyebabkan Allahyarham tidak dapat bangun dan berjalan.

Cengkoi adalah sahabat kita yang kerap melawat Allahyarham di hospital dan kali terakhir Cengkoi pergi melawat beberapa minggu sebelum Allahyarham meninggal dunia dan sempat membawa sebungkus pasembor seperti yang diminta oleh Allahyarham.

Menurut Malan lagi semasa mula berkahwin dan menetap di situ, beliau tidak mengetahui bahawa Allahyarham tinggal di kampung yang sama sehinggalah beliau bertemu dengan seorang pelajar senior al-Mashoor iaitu Fazli Bakar juga menetap di situ dan memberitahu bahawa Allahyarham ialah anak kepada Saari iaitu tuan punya sawah yang diusahakan oleh Malan. Tanpa membuang masa Malan terus ke rumah Allahyarham dan berbual panjang dengannya. Bermula dari situ hubungan sebagai sahabat al-Mashoor kembali akrab dan Malan sering membawa Allahyarham keluar makan dan ke hospital untuk rawatan.

Bagi pihak warga Mashoorian85-91 kami mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Malan dan Cengkoi serta sahabat-sahabat lain yang mengambil berat dan berkesempatan melawat Allahyarham.

Sekali lagi sama-sama kita berdoa agar roh Allahyarham Suhaimi Saari dicucuri rahmat Ilahi dan kita harap juga sahabat semua dapat memaafkan segala kesalahannya yang mungkin ada serta menghalalkan segala hutang-piutang yang mungkin ada, mudah-mudahan Allah menempatkan Allahyarham bersama-sama orang yang beramal soleh. Amin yarabba'alamin...

Al-Fatihah.....